Polis nafi berlaku pergaduhan kongsi gelap





GEORGETOWN: Polis Pulau Pinang menafikan berlakunya pergaduhan antara kumpulan kongsi gelap ketika upacara keagamaan ahli perniagaan, Datuk Ong Teik Kwang, yang mati ditembak, Khamis lalu. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Zainol Samah, berkata kejadian di Jirat Khoo Kongsi, Air Itam, Jumaat lalu itu, dimanipulasi bagi kepentingan peribadi sehingga mendatangkan kegusaran kepada masyarakat. Beliau berkata, polis menahan seorang lelaki dan memburu dua lagi suspek untuk membantu siasatan kes pergaduhan itu. "Siasatan awal mendapati punca kejadian ialah disebabkan tindakan mangsa menulis perkataan menghina Teik Kwang di laman sosial, menyebabkan keluarganya marah. "Polis juga menerima rakaman video yang memaparkan mangsa dipukul beberapa individu dan ia akan digunakan sebagai bahan bukti siasatan yang dibuat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini. Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, mangsa yang berumur 47 tahun dipukul beberapa individu menggunakan senjata tumpul di kawasan jirat dengan rakaman pergaduhan tersebar di laman sosial. Mangsa yang kini dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) dilaporkan lebam di mata kanan, bengkak pipi dan hidung, selain turut cedera di beberapa anggota badan. Dalam kejadian Khamis lalu, Teik Kwang mati ditembak pengawal peribadinya dalam kejadian amuk di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu, yang turut menyebabkan dua orang awam maut dan mencederakan lima individu.

SUMBER : BH ONLINE
Polis nafi berlaku pergaduhan kongsi gelap Polis nafi berlaku pergaduhan kongsi gelap Reviewed by on 02:11 Rating: 5

No comments